ILMU MENGURUSKAN BILIK DARJAH
Sebagaimana yang kita tahu,
bilik darjah atau kelas adalah penting sebagai medium bagi menjayakan proses
pengajaran dan pembelajaran. Bilik
darjah yang bersesuaian dengan pelajar dapat membantu pelajar untuk
meningkatkan kesungguhan dan kebolehan dalam proses ilmiah.
Di dalam bilik darjah,
selain daripada mengajar, guru juga memainkan peranannya sebagai pengurus. Guru
yang profesional ialah guru yang berfikiran luas dimana guru memikirkan bagaiman
cara untuk menjadikan bilik darjah atau kelas sebagai rutin harian pelajar.
Guru atau dikenali juga sebagai pengurus mengarahkan pelajar untuk membuat
jadual tugasan harian supaya keadaan bilik darjah lebih kondusif. Dengan itu,
mereka akan menjalankan tugas dengan mengikut jadual yang ditetapkan. Kecekapan
guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan sosioemosi yang
ceria, selesa dan disiplin kelas yang baik. Oleh itu, guru yang profesional
perlu berfikiran lebih luas untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran
melalui kewujudan sosioemosi dalam bilik darjah.
Ilmu menguruskan bilik
darjah yang seterusnya adalah ilmu pengurusan dari segi fizikal dan sosial.
Perkara yang paling penting bagi seseorang guru adalah keadaan bilik darjah
yang kemas, bersih dan teratur. Selain itu juga, susunan meja juga penting
dalam mewujudkan suasana yang kondusif. Susunan meja yang baik adalah mempunyai
ruang dan jarak untuk memudahkan guru bergerak dengan pantas dan selesa untuk
memberikan penerangan kepada pelajar yang tidak faham. Malah susunan meja
mengikut abad 21 memudahkan pelajar berbincang dan berkomunikasi antara mereka.
Secara tidak langsung, guru dapat mencapai objektif dalam menjayakan proses
pengajaran dan pelajaran.
Pengurusan bilik darjah yang
berkesan mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Seseorang guru perlu
memainkan peranan penting dalam mengawal tingkah laku pelajar bagi mencapai
objektif yang dituju. Guru perlu memiliki sikap dan sifat yang baik untuk
ditonjolkan dan dijadikan teladan dan contoh kepada pelajar. Guru seharusnya
bijak mengambil Tindakan kepada pelajar yang bermasalah disiplin dengan tidak
menghukum mereka di hadapan rakan-rakan mereka. Hal ini adalah kerana tidak
mahu mereka malu dan tiada keinginan untuk belajar sejurus dapat merosakkan
prestasi seorang guru. Malah guru yang bijak dalam menyelesaikan masalah dapat
mencapai matlamat dan objektif yang diinginkan sejurus dapat meningkatkan
akademik dan prestasi pelajar.
KEMAHIRAN MENGURUS BILIK DARJAH.
Pengurusan
bilik darjah yang baik dan berkesan adalah hasil daripada kemahiran yang
dilakukan oleh guru bagi memastikan bilik darjah sentiasa berada dalam keadaan
yang tenang dan suasana yang kondusif sebelum memulakan sesi pembelajaran.
Sebagai seorang guru, untuk menguruskan bilik darjah adalah bukan satu perkara
yang mudah tetapi ia telah merupakan tanggungjawab bagi seorang guru untuk
mengambil insiatif yang berkesan dan mengatur strategi untuk memastikan bilik
darjah sentiasa dalam keadaan terkawal dan teratur. Terdapat pelbagai kemahiran
kemahiran yang dapat dipraktikkan oleh guru ketika mengurus bilik darjah.
Antara
kemahiran yang perlu diambil perhatian oleh guru adalah, guru perlu menunjukkan
contoh yang baik kepada para pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana, di
sekolah guru merupakan ‘role model’ dan inspirasi kepada pelajar. Justeru itu
setiap tingkah laku yang dilakukan oleh guru guru sentiasa diperhatikan oleh
pelajar di sekolah tersebut. Sebagai seorang guru, kita hendaklah saling hormat
menghormati sesama guru dan juga anak didik bagi merapatkan lagi hubungan
silaturahim dan memupuk nilai kasih sayang antara guru dan pelajar. Apabila pelajar melihat sikap guru yang
saling menghormati tersebut, pasti mereka akan turut menghormati pelajar
pelajar lain dan mempraktikkan setiap perbuatan baik yang dipamerkan oleh guru
guru mereka. Hal yang sedemikian sekaligus dapat melahirkan pelajar pelajar
yang berakhlak mulia dan berkualiti.
Selain
itu, pengetahuan guru mengenai nama dan latar belakang pelajar pelajar adalah
perkara yang sangat penting. Hal ini dikatakan demikian kerana, kaedah sebegini
akan memudahkan guru untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar ketika
proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Apabila guru dapat mengingati nama
para pelajar, pelajar tersebut pasti berasa bangga dan diri mereka dihargai
apabila dipanggil sama ada dalam kelas mahupun luar kelas. Perkara ini amat
jelas kepentingannya dan turut ditegaskan oleh Bartlett (2004), beliau menyatakan
seorang guru perlu mengingati nama dan mengetahui latar belakang pelajar-pelajarnya.
Selain itu juga, guru perlu mengetahui latar belakang pelajarnya kerana ia akan
memudahkan kerja seorang guru sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini
keatas pelajar dengan menghubungi ibu bapa pelajar tersebut atupun menghantar
pelajar tersebut ke rumah
mereka. Hal ini
jelaslah menunjukkan bahawa guru tersebut mengambil berat dan prihatin terhadap
anak didiknya dan secara tidak langsung dapat memberi dorongan dan semangat
untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Seterusnya,
kemahiran guru mempelbagaikan rangsangan pembelajaran bagi menarik minat dan
perhatian pelajar. Hal ini dikatakan demikian kemahiran tersebut dapat membantu
merangsang perkembangan minda pelajar untuk lebih mendalami pembelajaran dengan
lebih fokus. Contohnya kemahiran mengubah tingkah laku, mempelbagaikan aktiviti
pengalihan saluran deria pelajar, menukar corak interaksi antara guru dan murid
dan mempelbagaikan kaedah dan teknik mengajar. Dengan kemahiran yang dijalankan
tersebut aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan
bermakna. Bukan itu sahaja, pelajar akan lebih memahami apa yang hendak
disampaikan oleh guru kerana mereka berasa seronok dengan teknik penyampaian yang
pelbagai dan guru yang mampu menguasai
kemahiran ini akan berupaya mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang
kondusif dan menarik.
Di
samping itu, persediaan guru untuk mengurus subjek yang hendak diajar kepada
para pelajar. Persediaan yang rapi sangat penting agar tugas guru sempurna dan
teratur. Guru juga perlu untuk mengetahui apa yang hendak disampaikan serta
memahirkan diri mereka dengan subjek yang hendak diajar supaya ilmu yang
disampaikan tersebut dapat difahami oleh pelajar dengan mudah. Contohnya,
penyediaan rancangan pembelajaran harian (RPH) sebelum memulakan sesi
pembelajaran. Rancangan pembelajaran harian tersebut adalah merangkumi
objektif, teknik dan kaedah dan ianya sangat penting bagi memastikan proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Pada akhir kelas tersebut,
objektif yang ditetapkan haruslah dicapai. Bukan itu sahaja, apabila guru guru
membuat persediaan lebih awal, ia membolehkan guru mengajar dengan lebih
berkeyakinan dan pelajar pelajar akan menjadi lebih semangat.
Guru
juga perlu membuat perancangan yang rapi berikutan susun atur di dalam bilik
darjah. Hal ini dikatakan demikian kerana, penggunaan ruang paling banyak
sekali dalam bilik darjah ialah susunan tempat duduk pelajar. Susunan yang baik
seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat
mengendali bilik darjah dengan mudah. Apapun susunan tempat duduk yang
digunakan, susunan itu hendaklah cukup fleksibel untuk menjalankan dan memantau pelbagai jenis akitviti dalam bilik darjah.
Menurut Emmer & et.al (1994), guru seharusnya memastikan semua pelajar
boleh memandang kepada kawasan pengajaran keseluruhan kumpulan (whole-group
instruction) tanpa memerlukan pelajar bergerak daripada tempat duduk mereka.
Tempat duduk disusun agar semua pelajar boleh melihat pengajaran yang
dipersembahkan oleh guru. Sebenarnya susunan tempat duduk boleh berubah-rubah
mengikut kesesuaian kaedah pengajaran dan aktiviti yang digunakan oleh guru
(Levin & Nolan, 1994). Susunan tempat duduk yang efektif membenarkan guru
untuk berinteraksi dengan lebih dekat kepada semua pelajarnya. Susunan tempat duduk mestilah dirancang agar
guru mudah untuk mendekati pelajarnya tanpa menganggu pelajar lain. Selain itu,
tempat duduk pelajar seharusnya mengelak posisi muka pelajar daripada menghadap
punca penumpuan pelajar terganggu seperti tingkap dan pintu. Justeru itu susun
atur di dalam bilik darjah perlulah dititikberatkan oleh para guru bagi
memastikan suasana pembelajaran terkawal.
Akhir
sekali ialah, prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah yang telah
dipersetujui bersama oleh pelajar sebagai satu kontrak dan garis panduan yang
dapat mengawal tingkah laku mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan
adanya peraturan tersebut pelajar akan berwaspada daripada melakukan kesalahan
dan sekaligus masalah disiplin di dalam kelas dan juga sekolah terkawal. Contoh
peraturan yang biasa ditemui ialah setiap pelajar perlulah mempunyai rasa
hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan
tugasan mereka dan murid perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab
sebarang pertanyaan. Dengan peraturan tersebut, suasana bilik darjah akan
menjadi lebih teratur dan sekaligus dapat meningkatkan prestasi dalam akademik
dan juga sahsiah diri. Kontrak yang ditandatangani ini akan dirujuk sekiranya
pelajar melakukan kesalahan.
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi pendekatan dan kemahiran
yang boleh dipraktikkan untuk mengurus
bilik darjah. Segalanya bergantung kepada situasi yang akan
dihadapi oleh guru dalam realiti dunia pendidikan ketika berhadapan dengan
pelajar. Untuk menguruskan bilik darjah dengan baik, guru memerlukan ketekalan,
kesedaran tentang erti keadilan, semangat juang yang tinggi dalam memahami fasa
psikologi dan tahap perkembangan pelajar, berfikiran terbuka dan bersedia untuk
belajar dari kesalahan agar guru dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik
untuk proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seterusnya
kecemerlangan pelajar itu sendiri. Tangani segala apa yang berlaku di dalam
bilik darjah dengan tenang, cepat, tegas dan fleksibel bergantung kepada tahap
pelajar yang diuruskan.
STRATEGI MENGURUS
BILIK DARJAH
Di
dalam pengurusan bilik darjah ini, benda yang dibincangkan adalah mengenai
strategi mengurus bilik darjah. Apakah yang dimaksudkan dengan strategi?
Strategi membawa maksud pelbagai cara untuk mencapai tujuan. Strategi juga
dapat disebut sebagai perilaku yang diambil oleh seseorang yang menggambarkan
berbagai tindakan terkait dengan keadaan dan permainan (Benoit dan
Trigeorgis,2011). Strategi mengurus bilik darjah di sebuah sekolah haruslah
dititikberatkan kerana ia sangat mempengaruhi proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Terdapat tiga aspek utama bilik darjah iaitu unsur
fizikal bilik darjah, interaksi dan iklim bilik darjah.
Aspek
yang pertama ialah unsur fizikal bilik darjah. Fizikal bilik darjah ini
menitikberatkan penyusunan bilik darjah. Penyusunan bilik darjah amat penting
dalam situasi pembelajaran pelajar kerana keadaan in dapat menggalakkan atau
menghalang sesuatu pembelajaran. Pengurusan bilik darjah memerlukan rutin bilik
darjah. Tujuan rutin bilik darjah adalah untuk menimbulkan rasa tanggungjawab,
perasaan seronok dan bekerjasama di kalangan pelajar. Ia juga dapat menjimatkan
masa dan tenaga. Kegiatan rutin bilik darjah adalah seperti membuat pemeriksaan
tentang keadaan fizikal bilik darjah, menyediakan bahan pelajaran dan menyusun
dengan betul dan mudah dicapai, menetapkan waktu yang sesuai untuk melakukan rutin
bilik darjah dan merancang sesuatu rutin itu dengan sempurna dan bersistem.
Faedah rutin bilik ialah proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan
dengan teratur, pengurusan rutin yang teratur dapat menjimatkan masa guru dan
pelajar, rutin akan menyemai nilai-nilai murni di kalangan pelajar, dan akhir
sekali pengurusan rutin bilik darjah yang sempurna dan cekap akan menimbulkan
rasa selamat kepada pelajar.
Seterusnya
adalah unsur interaksi dalam bilik darjah. Interaksi merupakan satu proses yang
saling bertindak yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua pihak. Istilah
dua pihak bermaksud sama ada ia merupakan orang perseorangan ataupun sekumpulan
manusia. Interaksi sangat penting kerana ia dapat menentukan sama ada proses
pengajaran di dalam kelas berjalan dengan baik. Jenis interaksi yang amat
sesuai untuk digunakan semasa dalam bilik pembelajaran adalah interaksi dua
hala antara guru dan murid, interaksi dua hala antara murid dan murid dan
interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid. Dalam
memastikan proses (PdPc) yang berkesan guru tidak boleh mengamalkan hanya
interaksi sehala atau tradisional kerana hanya guru yang akan mengawal segala
aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menyebabkan tiada interaksi
yang berlaku antara murid dengan murid. Dalam berinteraksi juga guru perlu
bijak mengawal keadaan emosi bilik darjah seperti suara guru hendaklah jelas
serta sikap guru yang positif dan mengamalkan gaya kepimpinan yang sesuai di
dalam kelas iaitu gaya demokratik merupakan interaksi dua hala yang sangat
sesuai digunakan.
Aspek
yang terakhir adalah unsur iklim bilik darjah. Halpin dan Croft (1963) yang
merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah
menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru
tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan.
Iklim bilik darjah terbahagi kepada 3 iaitu suasana fizikal, suasana sosial dan
suasana emosi. Suasana fizikal melibatkan unsur fizikal bilik darjah.
Perancangan dan penyusunan ini melibatkan mengorganisasi, merancang dan
penggunaan ABM, APD, kerusi, meja, papan tulis dan sebagainya. Bagi mencapai
suasana sosial bilik darjah, guru akan mengkaji melalui pemerhatian biasa
teknik sosiometri. Sosiometri merupakan teknik untuk mencari dan menunjukkan
perhubungan individu dengan pelajar. suasana emosi bilik darjah pula melibatkan
gabungan berbagai-bagai perkara iaitu suara, kelucuan, penggunaan pujian,
kawalan, kepimpunan dan kaedah mengajar.
Secara
kesimpulannya, strategi mengurus bilik darjah adalah berkait rapat dengan tiga
elemen penting seperti unsur fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Selain
itu juga, peranan daripada guru adalah penting bagi memastikan proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan isi
pembelajaran yang ingin disampaikan. Apabila bilik darjah berada dalam keadaan
yang terurus, maka kesemua aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah akan
dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat secara optimum
kepada seluruh warga sekolah.
PENGURUSAN
DISIPLIN DALAM BILIK DARJAH
Mengikut Olivia (1956), disiplin merujuk kepada
kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan bilik darjah
yang teratur, kursus pengajian an sistematik, cara yang menetapkan peraturan
atau hukuman. Di samping itu, di dalam buku Laporan jawatankuasa Kabinet (1979)
juga turut menjelaskan beberapa konsep berkaitan dengan disiplin. Antaranya
ialah :
Kesangupan seseorang individu menghormati dan mematuhi
undang-undang sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan
sendiri.
Kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu
dengan tertib.
Kesanggupan seseorang menghormaati hak individu lain.
Kesanggupan seseorang meengamalkan tingkah laku yang
baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.
Kesanggupan hormat-menghormati antara satu sama lain
dan mempunyai semangat tolong-menolong.
Kesanggupan membaiki keadaan yag sedia ada menerusi
usaha yang membina.
Kesanggupan berkhidmat kepada masyarakat.
Di
perigkat sekolah, disiplin merupakan peraturan yang dikenakan kepada pelajar
dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman atau ganjaran.
Justeru itu, disiplin bilik darjah merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan
keada pelajar-pelajar supaya mereka berkelakuan baik dan berdisiplin semasa
aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Hal ini akan mendorong agar
akiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara sistematik,
teratur dan lancar tanpa sebarang gangguan.
Mengikut
Lindgren (1976), disiplin bilik darjah boleh dibahagikan kepada empat iaitu
displin arahan guru, disiplin arahan kerja, disiplin arahan kumpulan dan
disiplin arahan diri. Dalam konteks pengurusan bilik darjah, guru memainkan
peranan utama dalam memastikan tiada masalah disiplin di dalam sesebuah kelas.
Hal ini akan menjamin segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat
dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Oleh itu, guru bertanggungjawab untuk
menentukan peraturan-peraturan bilik darjah dan memastikan pelajar sentiasa
mematuhi peraturan tersebut ketika berada dalam bilik darjah. Dengan kata lain,
di bawah disiplin arahan guru, murid-murid diwajibkan mematuhi segala peraturan
yang ditetapkan. Sekiranya terdapat murid yang melanggar disiplin, dia akan
dihukum mengikut peraturan atau cara yang difikirkan sesuai.
Seterusnya,
disiplin arahan kerja pula merupakan satu arah guru kepada pelajar agar pelajar
mematuhi arahan dan menyempurnakan tugasan mengikut jadual. Disiplin arahan
kerja ini mempunyai ciri motivasi yang positif kerana ianya dapat menggalakkan
murid menyelesaikan tugasan untuk kebaikan dan kepentingan sendiri. Sudah tentu
tidak semua murid mempunyai disiplin arahan kerja dan mematuhi arahan guru
dalam menyempurnakan tugasan mereka mengikut jadual. Kepatuhi murid kepada
disiplin jenis ini bergantung kepada kematangan murid serta jenis tugasan yang
diberikan. Secara amnya, disiplin arahan kerja dapat diwujudkan apabila tugasan
yang diberikan adalah menarik, bermakna, boleh disempurnakan mengikut tempoh
masa yang ditetapkan, serta sesuai dengn umur dan keupayaan murid.
Disiplin
arahan pula diwujudkan antara ahli dalam sesuatu kumpulan dengan tujuan untuk
menjalankan sesuatu ativiti pembelajaran. Pembentukkan kumpulan perlulah
berdasarkan kepada norma,nilai dan kepercayaan ahli-ahli yang serupa. Oleh itu,
tingkah laku murid dapat dikawal semamsa interaksi berlaku di antara rakan
sebaya. Guru yang cekap dalam pengurusan bilik darjah pasti boleh menggunakan
dinamika kumpulan itu untuk mengawal sesetengah pelajar yang sering melanggar
disiplin bilik darjah. Bimbingan yang sesuai harus diberikan kepda ketua-ketua
kumpulan mereka supaya norma dan kepercayaan yang diamalkan adalah sesuai,sihat
dan setimpal dengan disiplin bilik darjah. Semasa aktiviti kumpulan dijalankan,
ketua kumpulan berperanan untuk memastikan ahli kumpulannya melaksanakan
aktiviti tersebut secara sistematik dan teratur. Keadaan inilah mendorong
wujudnya disiplin arahan kumpulan dalam kalangan pelajar.
Disiplin
arahan diri bermaksud keadaan yang membuat murid-murid mematuhi
peraturan-peraturan yang sudah ditentukan tanpa dikenakan denda atau diberikan
ganjaran. Hal ini jelas menunjukkn tahap kesedaran pelajar terhadap
peraturaan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah untuk kebaikan
murid-murid itu sendiri. Pada dasarnya, nilai disiplin jenis ini boleh dipupuk
melalui latihan dan bimbingan guru seperti menerangkan kebaikan dan kepentingan
seorng pelajar untuk mematuhi arahan atau peraturan yang ditetapkan. Disiplian
arahan diri merupakan satu cara yang paling efektif dalam pengurusan disiplin
bilik darjah. Hal ini demikian kerana, apabila pelajar mula memahami
kepentingan mematuhi peraturan sekolah masalah disiplin di sekolah akan dapat
dikurangkan ke peringkat yang minimum.
Namun
demikian, apakah punca yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin dalam bilik
darjah? Antara punca utama berlakunya masalah ini adalah bergantung kepada guru
yang mengajar. Sekiranya guru gagal menyediakan alat bantu mengajar yang baik, mencabar
serta menarik yang sesuai dengan tahap pencapaian mereka, ini akan menyebabkan
mereka cepat merasa bosan. Oleh itu, guru perlulah kreatif dalam mencipta
idea-idea baru untuk merangsang pelajar untuk lebih minat belajar. Selain itu, sekiranya terdapat
tugasan yang diberikan kepada mereka tanpa penjelasan yang baik, mereka tidak
mampu untuk menyiapkan tugasan tersebut. Hal ini juga boleh mendorong salah
laku pelajar dalam bilik darjah. Interaksi dengan rakan sebaya juga memainkan
peranan penting bagi memastikan tidak berlaku masalah disiplin dalam kelas. Di
samping itu, menjadi tanggungjawab kepada guru untuk membina keyajinan diri
dalam setiap pelajar. Hal ini adalah untuk memastikan pelajar sentiasa yakin
untuk menjawab atau melakukan sesuatu tugasan yang diberikan.
Antara
masah disiplin yang sering berlaku di dalam bilik darjah adalah kesalahan
jenayah seperti merosakkan harrta benda sekolah, masalah berkelakuan negatif
misalnya makan dalam bilik darjah, masalah ponteng kelas dan menipu contohnya
menyalin kerja murid lain. Walau bagaimanapun masalah dan dugaan yang datang,
sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab dan cekap mestilah sentiasa
bersedia untuk menangani masalah yang timbul. Terdapat tiga cara untuk
menangani masalah disiplin pelajar antaranya ialah amaran konstruktif, hukuman
dan pencegahan salah laku.
Amaran
konstruktif digunakan apabila tingkah laku yang tidak diingini mengganggu
proses pengajaran dan pembelajaran. Keberkesanan tindakan ini bergantung isi
serta cara dalam menyampaikan amaran tersebut. Prosedur amaran adalah seperti
berikut :
Pastikan pelajar fokus dan tegaskan bahawa ini adalah
satu amaran
Jelaskan tingkah laku yang diingini secara eksplisit
Jelaskan hukuman yang bakal dikenakan kepada pelajar
yang tidak memberi kerjasama
Amaran perlu ringkas
Teruskan pengajaran serta memberi pujian kepada
pelajar yang memberi kerjasama
Beri pujian kepada pelajar yang bermasalah sekiranya
mereka menunjukkan perubahan
Beri pelajar hanya satu amaran sahaja
Hukuman merupakan denda yang dikenakan kepada orang
yang melakukan kesalahan. Respon berbentuk negatif merangkumi tindakan tata
tetib seperti amaran lisan, mengherdik dan memaparkan nama serta salah laku
pelajar. Hukuman ialah seperti menarik balik keistimewaan, mengasingkannya dari
pelajar lain, memecat pelajar dari jawatan yang disandang, menambah beban
tugas, digantung persekolahan dan sebagainya. Hukuman yang dikenakan mungkin
akan menimbulkan kesan-kesan negatif kepada pelajar.
Pencegahan salah laku juga merupakan cara untuk
membendung masalah disiplin pelajar. Faktor yang penting dalam bilik darjah
ialah keupayaan guru mencegah salah laku pada peringkat awal sebelum ianya
menjadi satu isu yang serius. Memahami dinamika bilik darjah merupakan langkah
utama bagi mencegah salah laku pelajar. Semua tingkah laku membawa makna sosial
yang hanya dapat difahami dalam konteks sosial tertentu. Adalah penting bagi
guru untuk menangani masalah tingkah laku dengan melibatkan semua pelajar dari
kelas tersebut. Hal ini kerana, rakan sebaya dapat mempengaruhi atau membendung
tingkah laku dengan lebih berkesan dibandingkan dengan guru sendiri. Memahami
dinamika bilik darjah merupakan kemelut bagi sebarang langkah pembetulan untuk
menangani masalah pelajar. Seterusnya, pengajaran berkesan juga mampu mencegah
masalah disiplin di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlu merancang strategi
pengajaran dan pembelajaran dengan sistematik, menggunakan kaedah dan teknik
berpusatkan pelajar untuk menarik perhatian dan melibatkan mereka dalam
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Elemen terpenting dalam bilik darjah
adalah susun atur tempat duduk. Pastikan susun atur tempat duduk murid
membolehkan guru untuk memerhati dan memudahkan pergerakan ke tempat pelajar.
Di samping itu, guru perlulah sentiasa mempunyai kontak mata dengan pelajar
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ataupun ketika berkomunikasi dengan
individu. Seterusnya, guru juga mestilah sentiasa prihatin terhadap murid-murid
dengan membuat tinjauan ke seluruh bilik darjah untuk memastikan murid-murid
tidak mempunyai masalah dalam membuat sesuatu tugasan yang diberikan.
Selain keberkesanan positif yang dicipta dan
implimentasi pelbagai teknik pengajaran dalam bilik darjah, terdapat tingkah
laku murid yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, guru perlu mempunyai satu himpunan
kaedah yang baik untuk menguruskan disiplin dalam bilik darjah. Antaranya ialah
dengan memastikan rutin bilik darjah diuruskan dengan baik dan berkesan.
Seterusnya, guru perlulah membina hubungan rakan sebaya yang sihat antara
pelajar melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di samping membina
persekitaran pembelajaran yang boleh memberi sokongan dan pertimbangan terhadap
perbezaan individu murid. Guru juga perlulah sentiasa mengingatkan pelajar
berkaitan dengan salah laku dan mewujudkan perhatian guru terhadap murid dengan
memberi motivasi. Sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan perlulah
melibatkan murid dan pengurusan masa yang bijak juga penting agar mereka tidak
cepat merasa bosan dan melakukan salah laku dalam bilik darjah.
FAKTOR YANG MEMPENGARUHI
PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah merupakan salah satu elemen utama
bertujuan membantu guru menyediakan dan mengekalkan bilik darjah sebagai
persekitaran yang berkesan untuk pengajaran dan pembelajaran. Namun, persediaan
dalam mengurus bilik darjah yang tidak mencukupi serta kesukaran yang dihadapi
dalam mengawal tingkah laku pelajar pada tahun pertama perkhidmatan memberi
kesan terhadap amalan pengajaran guru baharu dan seterusnya pembelajaran
pelajar. Amalan pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu meningkatkan
disiplin pelajar dan menggalakkan penambahbaikan terhadap pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, persediaan yang mencukupi di peringkat
pra-perkhidmatan adalah penting bagi menyediakan pengetahuan dan peluang untuk
guru baharu mengembangkan kemahiran mereka dalam pengurusan bilik darjah.
Apakah faktor yang mempengaruhi pengurusan
bilik darjah ?
Bagi melaksanakan peranan
seorang pengurus yang berkesan, guru perlu arif tentang iklim persekitaran
bilik darjah dan faktor-faktor yang boleh membantu dalam mewujudkan suasana
pembelajaran yang berkesan. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang
kepada suasana tersebut. Antara faktornya adalah susunan fizikal dan
tempat duduk bilik darjah dan persekitaran psikososial semasa di dalam bilik
darjah tersebut.
1.
FAKTOR FIZIKAL
Faktor pertama yang
mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal bilik darjah itu
sendiri. Bilik darjah yang menarik adalah bilik darjah yang kondusif atau
selesa untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Susunan peralatan
dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat
pembelajaran, bakul sampah, papan tulis dan lain-lain akan membantu
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin
murid-murid dalam bilik darjah. Persekitaran pembelajaran yang kondusif akan
dapat menggalakkan aktiviti intelektual, menggalakkan persahabatan, kerjasama
dan sokongan di samping menggalakkan pembelajaran, pertumbuhan dan perkembangan
pelajar. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah:
i.
Penyusunan kerusi dan meja
murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid
dengan murid serta guru dengan murid.
ii.
Suasana di bilik darjah
yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat
bantu mengajar.
iii.
Saiz bilik yang mencukupi
memberi keselesaan kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan
atau permainan.
iv.
Tingkap dan pintu yang
mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta keadaan
kebersihan dan keindahan bilik darjah.
Hasilnya, wujudlah suasana yang harmonis, ceria, dan
semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa
seolah-olah berada dalam sebuah rumah sendiri, wujudnya perasaan saling
bekerjasama dan kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha
memajukan diri dan kumpulan secara kolektif.
2.
FAKTOR PSIKOSOSIAL
Faktor psikososial merujuk kepada
perhubungan dan corak interaksi di antara murid dengan murid, khasnya di dalam
bilik darjah. Murid-murid dalam sesebuah bilik darjah biasanya terdiri daripada
latar belakang dan sifat yang berbeza. Terdapat juga murid yang mempunyai sifat
pendiam atau pemalu dan kurang bergaul dengan dengan murid yang lain. Oleh itu guru perlulah bijak merangsang dan menggalakkan
perkembangan sosial murid-muridnya dengan menunjukkan sikap yang adil semasa
melaksanakan peraturan kelas. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam
bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
·
Suasana selesa dan mesra.
·
Bebas daripada ancaman dan
bahaya fizikal.
·
Perasaan diterima.
·
Sensitif dan peka kepada
perbezaan individu.
·
Suasana yang merangsang
pembelajaran.
·
Mewujudkan komunikasi
terbuka dan menggalakkan perkongsian idea.
·
Menggalakkan pembelajaran
koperatif.
·
Peluang yang sama dan adil
untuk semua pelajar.
Ekoran dari perkembangan dunia pendidikan era ini,
peranan dan tugas guru dalam mengurus bilik darjah semakin mencabar. Seorang
guru yang bertindak sebagai pengurus bilik darjah efektif akan berusaha
mempertingkatkan serta melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengurusan yang
berguna agar dapat menerajui bilik darjah yang dipertanggungjawabkan ke atas
mereka.
Pengurusan bilik darjah pada masa kini adalah kompleks
kerana melibatkan aspek pengurusan serta pengajaran dalam satu masa yang sama.
Di sekeliling guru adalah masyarakat yang sentiasa melihat perkembangan
pengajaran dan pembelajaran di sekolah, melalui anak-anak mereka. Justeru,
seorang guru mesti memastikan pencapaian akademik pelajar khususnya berada pada
tahap yang cemerlang dan membanggakan. Justeru, diharapkan guru serta
bakal-bakal guru sedar tentang peranan mereka serta amalan seharusnya
dipraktikkan dalam usaha mengurus bilik darjah masa kini secara berkesan serta
membentuk satu persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif di sekolah.
Guru wajar mengamalkan tahap pengurusan bilik darjah tertentu yang dirasakan
paling sesuai sebagai usaha menjadikan pelajar seronok berada di dalam kelasnya
dan berjaya menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
No comments:
Post a Comment